Selasa, 30 Ogos 2011

AIDIL FITRI 2011

Hari ini merupakan hari pertama umat islam merayakan hari lebaran dan kami sekeluarga juga tidak melepaskan peluang untuk merayakan hari mulia ini bersama keluarga tercinta di kampung halaman ku di Kampung Dewan Kechil, Labok , Machang, Kelantan.

Sebagaimana kebiasaannya, aku tiba di rumah ibuku hampir jam 1 pagi setelah isteriku menyelesaikan beberapa tugasan yang masih belum beres. Amat memenatkan, tetapi itulah nikmat persiapan hariraya saban tahun kami lalui bersama.

Hampir 3 tahun, kami adik beradik merayakan aidil fitri tanpa kehadiran ayah tercinta yang kembali ke rahmatullah, rasa macam ada kekurangan dalam hilai ketawa kami adik beradik bila mana kelibat dan sapaan ayah tidak lagi kedengaran. Kami amat merindui insan agung ini didalam kami mencorak dan menapak semula kehidupan keluarga ini demi kelangsungan hidup yang serba mendesak dan menuntut ini.

Kehadiran insan agung ini amat kami perlukan, walaupun kami amat dan memahami ianya tak mungkin terjadi. kami 'muda' dalam kedewasaan ini, kami 'rapuh' dalam kehebatan ini, kerana itulah kami amat memerlukan kehadiran ayah sebagai mercu tanda dan penguat semangat juang kami adik beradik.

Tapi, realitinya kami terpaksa meneruskan hidup ini tanpa ayah, Alhamdullillah.... kami masih ada lagi ibu yang kami panggil cik. Semoga hidup kami sekeluarga akan sentiasa dalam lindungan dan keberkatan illahi.

Al fatihah buat ayah tercinta semoga rohnya di cucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan insan insan soleh. Buat cik, selamat hari raya, maaf zahir dan batin atas segala apa jua kesalahan anak mu ini.